Khamis, 31 Mei 2012

KARANGAN BENTUK SYARAHAN / PIDATO


MAKSUD SYARAHAN:

Syarahan atau dinamakan juga pidato lebih menekankan  kepada kemahiran bertutur. Dalam syarahan, hal yang penting diberi perhatian ialah daya tarikan kepada pendengar. Mereka akan bersyarah berdasarkan teks syarahan yang disediakannya. Bagaimanapun, pemidato yang baik tidak terlalu bergantung pada teks.

Dalam menulis syarahan, awda haruslah lebih memberikan tumpuan kepada cara untuk menarik perhatian pendengar ini. Dalam kata lain, walaupun dalam bentuk tulisan, namun perlu juga dibayangkan bahwa syarahan yang awda tulis itu sebenarnya dalam bentuk pertuturan. Ini disebabkan teks syarahan awda itu nanti akan dijadikan panduan oleh pemidato dalam menyampaikan syarahannya.

Terdapat dua jenis syarahan yang lazim, iaitu : 
  • Syarahan yang diadakan dalam di dalam sesuatu majlis yang khusus. Dalam syarahan atau pidato, pemidato akan diberikan tajuk yang khusus untuk memperkatakannya. Ini berbezakan dengan karangan jenis ucapan, tidak diberi tajuk.  
  • Syarahan atau pidato dalam bentuk pertandingan. Dalam sesuatu pertandingan pidato, teks pidato itu diperlukan sebagai panduan kepada pemidato. Di sekolah umpamanya, banyak pertandingan syarahan sama ada peringkat sekolah itu sendiri atau peringkat daerah dan seterusnya peringkat negeri diadakan.

Syarahan biasanya mempunyai tajuk tertentu. Seseorang yang bersyarah akan mengupas tajuk itu. Ini bermakna syarahan bertujuan untuk menyampaikan fakta, pengetahuan dan perkara-perkara yang serius berhubung atau relevan dengan tajuk yang diberi kepadanya.

FORMAT SYARAHAN :

Syarahan biasanya lebih panjang dari ucapan dan taklimat. Ini disebabkan dalam syarahan, tajuk-tajuk tertentu biasanya telah diberikan oleh penganjur kepada pihak penceramah. Penceramah akan bercakap di bawah tajuk itu.

Tajuk tersebut akan dihuraikan dengan mengemukakan fakta-fakta yang berhubungan dan dibuktikan melalui contoh-contoh yang sesuai supaya orang ramai yang mendengar berasa yakin dengan isi-isi yang disyarahkan itu.

Untuk tujuan peperiksaan, awda akan dikehendaki menulis teks syarahan. Teks ucapan mempunyai hubungan rapat dengan format syarahan. Antara perkara penting yang ada dalam sesuatu syarahan ialah :
  • Ucapan selamat kepada para tetamu yang hadir, dimulai dengan pengerusi majlis, tetamu khas dan hadirin. Awda juga boleh memberi penghargaan kepada penganjur atau kerana diberi peluang untuk bersyarah jika selain syarahan berbentuk pertandingan.
  • Menyatakan tajuk syarahan yang akan disampaikan dan tujuan syarahan itu dibuat.
  • Isi-isi syarahan iaitu fakta-fakta yang relevan dengan tajuk syarahan. Bahagian ini mesti lebih panjang daripada bahagian-bahagian lain. Di sinilah letaknya peruntukkan markah yang paling banyak. Bahagian isi syarahan haruslah dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu pendahuluan, isi dan ceramah. Pendahuluan dalam syarahan bolehlah dipenuhi dengan definisi atau latar belakang persoalan atau tajuk yang disyarahkan. Bahagian isi pula ialah butiran yang relevan dengan tajuk  sementara bahagian kesimpulan pula ialah rumusan daripada kandungan yang telah disyarahkan.Bahagian kesimpulan ini juga bolehlah membuat penegasan terhadap butir-butir penting yang telah disyarahkan.
  • Kata-kata hormat kepada sidang hadirin yang diselang selikan di antara permulaan perenggan tertentu.
  • Penutup syarahan iaitu dengan memohon maaf andainya ada ketelanjuran kata dan mengucapkan terima kasih.
  • Kalau digambarajahkan, format pemerangganan syarahan adalah seperti berikut :
Kata-kata aluan kepada yang hadir

Pendahuluan untuk isi-isi syarahan

Isi syarahan 1

Isi syarahan 2

Isi syarahan 3

Isi syarahan 4

Isi syarahan 5

Kesimpulan isi-isi  syarahan

Penutup syarahan

TEKNIK MENULIS SYARAHAN:

Langkah pertama dalam syarahan ialah menyebut kata-kata aluan. Kata-kata aluan ini berbeza mengikut keperluan syarahan. Syarahan yang dibuat dalam majlis memounyai kata-kata aluan yang berbeza dengan syarahan dalam bentuk pertandingan.

Contoh kata-kata aluan untuk majlis ialah seperti berikut : 

Yang Mulia Tuan Pengerusi majlis, Tuan Pengetua, guru-guru dan para pelajar sekalian. Terlebih dahulu daya mengucapkan terimakasih kepada pihak sekolah kerana mengundang saya untuk menyampaikan syarahan pada hari ini. 

Contoh kata-kata aluan untuk pertandingan syarahan adalah seperti berikut:  

Terima kasih Tuan Pengerusi, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan pelajar sekalian.

PENDAHULUAN :

Pendahuluan untuk isi-isi syarahan akan menggambarkan persoalan yang akan disyarahkan. Maksudnya pendahuluan itu haruslah menggunakan ayat yang jelas menggambarkan tujuan atau apa yang akan kita percakapkan. Bayangkanlah pendengar syarahan kita bertanya tiga soalan ini:
  • Untuk apa aku mendengar syarahan?
  • Apa kena mengena syarahannya dengan aku?
  • Apa yang diperkatakannya?
Pendahuluan syarahan awda haruslah memberi jawapan kepada tiga soalan di atas. Untuk menarik minat pendengar, pendahuluan syarahan haruslah menarik. Syarahan awda boleh dimulai dengan:
  • Mengemukakan cerita atau peristiwa yang ada hubungan dengan isi syarahan.
  • Menyebut sebarang persoalan yang penting, disukai, dihargai atau kerap dialami pendengar.
  • Menyebut perumpamaan, kata-kata hikmat, madah pujangga dan sebagainya yang berkaitan dengan isi syarahan.
  • Menyebut fakta-fakta yang mengejutkan para pendengar tentang isi syarahan yang belum diketahui pendengar.
Perhatikan dua contoh perenggan pendahuluan syarahan ini. 

Kalau awda singgah di sebuah restoren di Jakarta, sebelum pelayan restoren itu datang, awda mungkin akan didekati oleh penjaja jalanan dan bertanya “ Beli buku laris ini pak?” Ini sekurang-kurangnya menunjukkan penghormatan  kepada buku di kalangan masyarakat di situ. Bagaimana kita di sini? Kenapa kita begitu liat untuk membeli buku? Bagaimana caranya untuk menjadi seorang pembaca buku yang baik? Inilah antara perkara yang akan saya kemukakan dalam syarahan bertajuk “ Peranan buku dalam pembangunan negara” ini.

Atau

Tahukah awda bahawa masyarakat Jepun membaca tiga buah buku setahun? Dan tahukah awda bahawa masyarakat Malaysia hanya membaca satu halaman buku setahun? Berdirinya saya di depan tuan-tuan ini ialah untuk menyampaikan syarahan bertajuk “Peranan buku dalam pembangunan negara”. Semua orang tahu tentang buku tetapi tidak semua orang tahu membaca buku, maksud saya membaca buku dengan betul. 


ISI SYARAHAN :

Isi syarahan mestilah relevan dengan tajuk. Untuk menulis karangan berbentuk syarahan ini, awda haruslah mempunyai lebih kurang lima isi untuk setiap tajuk syarahan yang dihuraikan masing-masing pada perenggan yang berbeza.

KESIMPULAN :

Sebaik-baiknya, kesimpulan dalam syarahan awda haruslah mempunya hubung kait dengan pendahuluan. Bagaimanapun terdapat pelbagai cara untuk membuat kesimpulan syarahan seperti :
  • Membuat rumusan isi-isi syarahan yang telah dinyatakan.
  • Mengulang perkara-perkara penting yang telah disebutkan dalam syarahan itu.
  • Menyeru pendengar supaya mengubah sikap lama atau pandangan terhadap persoalan yang telah disyarahkan.
  • Menyerahkan pertimbangan terhadap isi-isi syarahan kepada kebijaksanaan para pendengar sendiri.

Perhatikan dua contoh kesimpulan syarahan berikut:

Kesimpulannya ialah kemerosotan disiplin di kalangan pelajar merupakan masalah yang kian rumit. Langkah yang berkesan perlu diambil supaya generasi muda dapat mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti dan tidak menjadi mangsa kepada sistem yang kita gubal sendiri. Hal ini adalah untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya.

Atau

Di sini saya menyeru ibu bapa sekalian supaya memberikan kasih sayang terhadap anak-anak. Janganlah bersikap bengis terhadap mereka. Pupuklah semangat ingin maju dalam diri anak-anak dengan cara psikologi bukan dengan cara menghukum atau mendera.

LARAS BAHASA :

Dalam penggunaan bahasa pula, awda perlulah berhati-hati memandangkan teks itu ditulis untuk dijadikan panduan dalam syarahan. Gaya bahasa yang digunakan mestilah mudah difahami dan lancar. Terdapat beberapa panduan gaya bahasa yang boleh digunakan dalam menghasilkan karangan berbentuk syarahan ini iatu :
  • Gunakan ayat aktif iaitu pelaku sebagai subjek ayat awda.
  • Jangan menggunakan ayat yang panjang, jangan sampai 20 perkataan dalam satu ayat.
  • Ayat-ayat panjang ( jika tidak dapat dielakkan) haruslah diselang selikan dengan ayat yang pendek.
  • Perkataan-perkatan yang panjang perlu dielakkan. Sebaik-baiknya jangan gunakan perkataan yang melebihi tiga suku kata.




10 ulasan:

  1. salam cikgu .
    izinkan saya jadikan bahan cikgu sebagai rujukan. .
    syukran~
    :)

    BalasPadam
  2. assalamualaikum cikgu farah,boleh tak keluarkan format syarahan? :)

    BalasPadam
  3. Waalaikumsalam.... syarahan juga dikenali sebagai pidato. Syarahan biasanya membincangkan sesuatu tajuk manakala pidato lebih kepada pertandingan. Format antara keduanya lebih kurang sama. Harap membantu :)

    BalasPadam
  4. assalamualaikum..minta izin untuk buat rujukan..terima kasih

    BalasPadam
  5. minta izin untuk digunakan sebagai perkongsian... :) terima kasih ya cikgu

    BalasPadam
  6. Terima kasih cikgu. Sangat baik untuk rujukan

    BalasPadam