Sabtu, 21 Julai 2012

JENIS-JENIS AYAT

Ayat-ayat dalam Bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan dan ayat perintah.

AYAT PENYATA.
Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud untuk menyatakan atau menerangkan sesuatu hal. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat berita atau ayat keterangan.

Contoh ayat :
Pelajar-pelajar sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
Norita tidak pergi ke sekolah hari ini.

AYAT TANYA
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
Terdapat dua jenis ayat tanya iaitu :
a) ayat tanya tanpa kata tanya.
b) ayat tanya dengan kata tanya.
Tanda soal ( ? ) diletakkan di akhir ayat.

a) Ayat tanya tanpa kata tanya.
ialah ayat yang diucapkan dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat penyata dan ditandai dengan tanda soal (?)
Contoh ayat :
Bas itu sudah bertolak?
Adik masih belum makan?

 b) Ayat tanya dengan kata tanya.
Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang menggunakan kata tanya seperti apa, bila, siapa, mana, bagaimana dan sebagainya.
Contoh ayat :
Barang itu apa?
Pejabat pos di mana?

AYAT SERUAN
Ialah ayat yang digunakan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, gembira,sakit,benci dan sebagainya.
Tanda seru ( ! ) diletakkan di akhir ayat seruan
Ayat seru didahului oleh kata seru seperti amboi, wah, eh,cis, aduh dan sebagainya.
Contoh ayat :
Wah, mahalnya baju ini !
Syabas, kamu telah menang !

AYAT PERINTAH
Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
Terdiri dari 4 jenis iaitu :
a) ayat suruhan
Iaitu memberi arahan atau memerintah seseorang membuat sesuatu.
Contoh ayat :
Siapkan kerja sekolah ini.
b) Ayat larangan
Iaitu melarang seseorang daripada melakukan sesuatu.
Menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah.
Contoh ayat :
Usah bermain di tepi jalan raya.

c) Ayat silaan
Iaitu menjemput atau mempersilakan seseorang.
Menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput.
Contoh ayat :
Jemput makan bersama-sama.
d) Ayat permintaan
Iaitu memohon permintaan dan pertolongan.
Menggunakan kata permintaan seperti minta atau tolong.
Contoh ayat :
Tolong uruskan perkara ini dengan segera.