Ahad, 5 Ogos 2012

PENGENALAN MEMODENKAN BAHASA KLASIK

Penuntut boleh klik di sini untuk mengetahui sejarah ringkas Bahasa Klasik.
http://dermagabmk1.blogspot.com/2008/11/bahasa-melayu-klasik.html

Sifat/Ciri-ciri bahasa klasik.

  • Ayat-ayat bahasa klasik sebelumnya panjang dan berbelit-belit.
  • Susuk ayat bahasa klasik banyak dipengaruhi oleh susuk ayat bahasa arab.
  • Tanda baca selalunya tidak diletakkan dengan betul dan ada langsung yang tidak ada.
  • Petikan banyak menggunakan perkataan seperti arakian, syahadan, hatta dan sebagainya.
  • Kerap kali juga menggunakan perkataan yang tidak digunakan lagi seperti sahaya ( saya ), centera ( cerita ), khial ( khayal ) dan lain-lain lagi.
  • Ayat bahasa klasik banyak menggunakan imbuhan ‘lah ‘ dan ‘pun’.
  • Selalunya bahasa klasik banyak mendahulukan predikat baru diikuti dengan subjek. ( ayat songsang )

Cara memahami / proses / format  memodenkan.

  • Pelajar perlu ingat jawapan yang ditulis mestilah dalam bahasa melayu moden.
  • Baca keseluruhan petikan sehingga faham.
  • Gariskan perkataan-perkataan bahasa klasik yang dapat ditukarkan.
  • Jangan menokok tambah butir-butir lain yang tiada dalam petikan bahasa klasik.
  • Nama-nama khas jangan ditukar.
  • Ketahui perbezaan di antara bahasa klasik dengan bahasa istana.
  • Struktur ayat bahasa klasik bertentangan dengan bahasa moden. Sebagai contoh :
Bahasa klasik : Maka berangkatlah baginda ke istana.
Bahasa moden : Lalu baginda berangkat ke istana.
  • Kekerapan menggunakan struktur ayat pasif dalam bahasa klasik sebagai contoh :
Bahasa klasik : maka oleh Hang Tuah dipalang kepala dua orang yang mengamuk itu terbelah dua.
Bahasa moden : lalu Hang Tuah memarang kepala dua orang yang mengamuk itu dan terbelah dua.
  • Kekerapan menggunakan “pun’ dan ‘lah’, contoh :
Bahasa klasik : maka seketika itu pun berputeralah tuan puteri itu seorang anak lelaki.
Bahas moden : Lalu seketika itu Tuan Puteri melahirkan seorang anak laki-laki.



Perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum menjawab soalan memodenkan.

  • Senaraikan dulu watak-watak dalam petikan prosa klasik tersebut. Pastikan kamu berjaya mengenal pasti beberapa watak yang mempunyai persamaan agar pemilihan ganti nama kamu tepat dan sesuai.
  • Nyatakan latar tempat, iaitu tempat prosa klasik itu diceritakan.
  • Nyatakan pokok persoalan yang ada dalam petikan tersebut.
  • Buangkan  perkataan klasik seperti ‘maka’, ‘arakian’, ‘syahadan’, ‘lah’,’pun’ ataupun perkataan yang tidak perlu.
  • Perkataan klasik yang ada dalam petikan tersebut, perlulah ditukarkan kepada bahasa moden. Ini penting kerana  jika kamu mengekalkan perkataan klasik tersebut, markah kamu akan dipotong kerana tidak menepati arahan soalan. 




Contoh soalan : Pindahkan bahasa Melayu lama/klasik di bawah kepada bahasa Melayu moden.

Telah didengar oleh Raja Jin akan sembah Tuanku Malim Deman terlalu bijaksana pandai berkata-kata dengan halus manis serta pula lemah lembut aturannya, makin bertambah-tambah kasih sayangnya akan Tuanku Malim Deman. Maka Raja Jin pun lalu bertitah " Ayuhai anakanda, jika sekiranya anakanda hendak pergi ke mana-mana pun insya allah taala bolehlah ayahanda menyampaikan seperti maksud anakanda itu, akan tetapinya hendaklah anakanda berjanji dahulu dengan ayahanda".

Jawapan :

Setelah Raja Jin mendengar sembah Tuanku Malim Deman yang sangat sopan itu, perasaan simpati baginda makin bertambah lalu baginda bertitah akan menolong menyampaikan hajat Tuanku Malim Deman itu dengan syarat Tuanku Malim Deman mesti berjanji dengan baginda terlebih dahulu.



Sabtu, 21 Julai 2012

JENIS-JENIS AYAT

Ayat-ayat dalam Bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan dan ayat perintah.

AYAT PENYATA.
Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud untuk menyatakan atau menerangkan sesuatu hal. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat berita atau ayat keterangan.

Contoh ayat :
Pelajar-pelajar sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
Norita tidak pergi ke sekolah hari ini.

AYAT TANYA
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
Terdapat dua jenis ayat tanya iaitu :
a) ayat tanya tanpa kata tanya.
b) ayat tanya dengan kata tanya.
Tanda soal ( ? ) diletakkan di akhir ayat.

a) Ayat tanya tanpa kata tanya.
ialah ayat yang diucapkan dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat penyata dan ditandai dengan tanda soal (?)
Contoh ayat :
Bas itu sudah bertolak?
Adik masih belum makan?

 b) Ayat tanya dengan kata tanya.
Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang menggunakan kata tanya seperti apa, bila, siapa, mana, bagaimana dan sebagainya.
Contoh ayat :
Barang itu apa?
Pejabat pos di mana?

AYAT SERUAN
Ialah ayat yang digunakan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, gembira,sakit,benci dan sebagainya.
Tanda seru ( ! ) diletakkan di akhir ayat seruan
Ayat seru didahului oleh kata seru seperti amboi, wah, eh,cis, aduh dan sebagainya.
Contoh ayat :
Wah, mahalnya baju ini !
Syabas, kamu telah menang !

AYAT PERINTAH
Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
Terdiri dari 4 jenis iaitu :
a) ayat suruhan
Iaitu memberi arahan atau memerintah seseorang membuat sesuatu.
Contoh ayat :
Siapkan kerja sekolah ini.
b) Ayat larangan
Iaitu melarang seseorang daripada melakukan sesuatu.
Menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah.
Contoh ayat :
Usah bermain di tepi jalan raya.

c) Ayat silaan
Iaitu menjemput atau mempersilakan seseorang.
Menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput.
Contoh ayat :
Jemput makan bersama-sama.
d) Ayat permintaan
Iaitu memohon permintaan dan pertolongan.
Menggunakan kata permintaan seperti minta atau tolong.
Contoh ayat :
Tolong uruskan perkara ini dengan segera.



Sabtu, 23 Jun 2012

GURINDAM


DEFINISI :
Istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun nama gurindam itu mempunyai pengaruh bahasa asing, namun bentuk gurindam itu diciptakan oleh masyarakat Melayu sendiri dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Menurut Za'ba, gurindam ialah sejenis puisi yang tidak mengandung sukatan yang tetap.

Gurindam yang juga dikenali sebagai puisi lama hanya terdiri daripada dua baris serangkap. Dalam baris pertama tersimpul fikiran yang berupa soalan. dalam baris kedua pula termuat jawapan atau ketegasan bagi baris pertama tadi. Contoh dalam salah satu Gurindam Dua Belas karangan Pujangga Raja Ali Haji, iaitu "Jika ada tidak dilatih/Bila besar bapanya letih"/ Rima akhir pula a-a.

CIRI -CIRI DAN BENTUK :
Gurindam sejenis puisi Melayu lama yang tidak tentu bentuknya sama ada terikat atau tidak. Bentuk yang terikat terdiri daripada dua baris serangkap dan mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris dengan rimanya a, a. Biasanya beberapa rangkap gurindam diperlukan untuk melengkapkan satu keseluruhan idea.

TUJUAN :
Puisi ini mengandung fikiran yang bernas dan digubah dalam bahasa yang indah untuk dinyanyikan bagi tujuan hiburan, nasihat dan renungan.

CONTOH GURINDAM :
Berikut diturunkan salah satu contoh gurindam, iaitu:

"Kalau banyak berkata-kata,
Di sanalah boleh terjadi dusta."

"Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang."

PERBEZAAN SECARA UMUM DI ANTARA :
 Mengikut Kamus Dewan makna perkataan-perkatan berikut ialah:
1) Pantun - ialah puisi lama yg biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainnya mengandungi maksudnya)
2) Syair - ialah karangan bersajak (tiap-tiap rangkap terdiri daripada empat baris yang sama bunyi hujungnya)
3) Gurindam - ialah bentuk puisi (terdiri daripada dua baris, berisi dengan berbagai-bagai pengajaran)
4) Seloka - ialah puisi yg mengandungi ajaran (sindiran, jenaka, dan lain-lain)
5) Mentera - kata atau ayat yang apabila diucapkan dapat menimbulkan kuasa ghaib (untuk menyembuhkan penyakit dan lain-lain), jampi.
6) Teromba - sejarah yg diceritakan dalam bentuk perbilangan, tambo, riwayat. 
7) Nazam - ialah gubahan puisi (seperti sajak, syair).


.

.

Ahad, 17 Jun 2012

AYAT AKTIF DAN AYAT PASIF


AYAT AKTIF
AYAT PASIF
      Aktif ialah ayat di mana subjek dalam ayat tersebut menjadi pelaku dan objeknya menjadi penerima.
         Ayat Aktif menerangkan benda atau orang yang melakukan sesuatu perbuatan itu.
        Ayat Aktif mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai unsur yang diterangkan.
         Kata kerja dalam Ayat Aktif mengandungi awalan ‘me’ dan ia disebut sebagai penanda ayat aktif.

·         Ayat Pasif ialah ayat di mana frasa nama yang menjadi subjek dalam ayat tersebut menjadi penerima sesuatu perbuatan.
·         Ayat Pasif menerangkan benda atau orang yang dikenakan perbuatan ke atasnya.
·         Ayat Pasif terbentuk dari ayat Aktif Transitif.
·         Ayat Pasif mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai unsur keterangannya.
·         Ayat pasif mempunyai kata kerja yang berawalan di- atau kata kerja tanpa awalan.

CONTOH AYAT AKTIF :
CONTOH AYAT PASIF :

         Khairul menghantar kerusi-kerusi itu ke rumah Pak Cik Ghani dengan van.

       
     

1.       Kerusi-kerusi itu dihantar oleh Khairul ke rumah Pak Cik Ghani dengan menggunakan van.
       
       

JENIS-JENIS AYAT AKTIF
1      Ayat Aktif Transitif
2     Ayat Aktif Tak transitif



AYAT AKTIF TRANSITIF
1    Ayat Aktif Transitif ialah Ayat Aktif yang mengandungi Kata Kerja Transitif iaitu yang diikuti oleh frasa nama yang bertugas sebagai objek atau unsur penyambutnya.

CONTOH AYAT :

SUBJEK
PREDIKAT
KATA KERJA AKTIF TRANSITIF
OBJEK

      Monyet itu
        


memanjat

pokok kelapa.


AYAT AKTIF TAK TRANSITIF

1.       Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambut.
2.       Ayat aktif tak transitif boleh dibahagikan kepada dua jenis :
i.                     Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang boleh digugurkan.
ii.                   Ayat aktif tak transitif dengan keterangan yang tidak boleh digugurkan.

JENIS AYAT TAK TRANSITIF
CONTOH AYAT
AYAT AKTIF TAK TRANSITIF DENGAN KETERANGAN YANG BOLEH DIGUGURKAN
          Ayat Aktif jenis ini boleh mengandungi frasa keterangan ataupun tidak.
          Frasa keterangan dalam Ayat Aktif jenis ini boleh digugurkan tanpa mencatatkan ayat itu.





        
      Kanak-kanak itu sedang bermain dengan riangnya.
       

       
AYAT AKTIF TAK TRANSITIF DENGAN KETERANGAN YANG TIDAK BOLEH DIGUGURKAN
          Ayat Aktif jenis ini mesti mempunyai frasa keterangan.
         Ayat itu dianggap tidak lengkap atau salah jika ia tidak mempunyai frasa keterangan.


        
     
           Sudir tinggal di Kampung Raja.
( Sudir tinggal.  - ayat ini salah)
       

       


JENIS-JENIS AYAT PASIF

JENIS AYAT PASIF
CONTOH AYAT

         AYAT PASIF DENGAN IMBUHAN KATA KERJA PASIF

      Ayat Pasif jenis ini mempunyai kata kerja pasif yang berimbuhan di  dan ter.





         Buku itu sudah diambil oleh Jeha semalam.
         Rumah itu terbina dalam masa sebulan.

       
        

         AYAT PASIF DENGAN GANTI NAMA DIRI ORANG PERTAMA DAN KATA GANTI NAMA DIRI ORANG KEDUA

          Kata ganti nama diri orang pertama dan kata ganti nama diri orang kedua tidak boleh menerima kata kerja imbuhan pasif di-          Kedua-dua jenis kata ganti nama diri orang itu diletakkan di hadapan kata kerja dasar.




        

           Nasi dan lauk itu sudah kami makan.

       

       
         AYAT PASIF DENGAN KATA BANTU PASIF KENA

         Perkataan kena digunakan di hadapan kata kerja dasar dalam ayat pasif jenis ini.
          Kata kerja dasar tersebut tidak menerima sebarang  imbuhan awalan.





          
           Budak yang nakal itu kena pukul oleh    ayahnya.
       

      
         AYAT PASIF MENGGUNAKAN IMBUHAN ‘ber’ DAN ‘ke…an’

         Ayat Pasif jenis ini mengandungi kata kerja yang berawalan ber- dan berapitan ke…an




     

 Surat daripada Yunus belum berjawab.
Pengemis di kaki lima itu kelaparan.

       

       



Sabtu, 16 Jun 2012

MERINGKAS KARANGAN


Pengenalan: 

Apakah tujuan ringkasan ?

  1. Menguji kebolehan pelajar membuat ringkasan / nota.
  2. Menguji  pemahaman pelajar terhadap teks yang dibacanya.
  3. Membolehkan seseorang pelajar mengetahui sesuatu cerita dengan cepat.
  4. Dapat mengarang semula petikan dengan menggunakan ayat sendiri.


Konsep ringkasan :


  • Meringkaskan berdasarkan petikan rencana, cerita atau berita. 
  • Tujuan meringkas karangan adalah untuk menguji kemahiran mengenal pasti isi-isi penting.
  • Pembahagian markah  dibuat berdasarkan ketepatan isi, kebakuan bahasa dan kejalinan idea ( teknik)
  • Markah akan ditolak jika melakukan kesalahan ejaan dan menulis melebihi had perkataan yang ditetapkan.
  • Ringkasan yang dihasilkan melalui salinan ayat demi ayat daripada petikan asal tidak digalakkan bahkan penggunaan ayat sendiri sangat diberikan perhatian.





Proses/format meringkas karangan :



  • Baca keseluruhan petikan rencana sebanyak dua kali (sekurang-kurangnya) untuk memahami maksud keseluruhan teks. 
  • Tentukan tema/pokok persoalan petikan. 
  • Selepas itu, kenal pasti isi-isi yang penting. Garis isi- isi yang penting supaya dapat membuat rujukan dengan cepat.
  •  Nomborkan isi- isi utama yang digariskan tadi. Sebaik-baiknya, isi tersebut disusun semula supaya isi-isi ya berkaitan dan berurutan.
  • Kemudian tulislah semua isi-isi tersebut dengan perkataan sendiri dan bukan gaya bahasa teks asal.
  • Pasti kan jumlah perkataan yang digunakan tidak melebihi had yang ditentukan.
  • Semasa menulis gunakan bahasa yang ringkas dan padat. Bahasa yang berbunga- bunga dan tidak tepat harus dielakkan.
  • Untuk kesinambungan idea, gunakanlah penanda wacana yang sesuai. Contohnya: selain itu, walau bagaimana pun, namun begitu, sebaliknya.
  • Tuliskan satu isi dalam satu ayat. Namun, isi- isi yang berkaitan boleh digabungkan untuk membentuk satu ayat yang padat.
  • Perkara- perkara yang tidak dinyatakan dalam teks asal tidak boleh dimasukkan ke dalam ringkasan awda.
  • Setelah  itu, buatlah pengiraan dan catatkan jumlah perkataan di sudut kanan bawah ringkasan awda.
  • Sebagai langkah terakhir, semak kerja awda dan pastikan ringkasan awda tidak mengandungi kesalahan ejaan dan tatabahasa.




PENGIRAAN JUMLAH PERKATAAN


Semua aspek yang disenaraikan di bawah adalah dikira sebagai satu perkataan.


  • Kata Nama Khas. Contoh: Negara Brunei Darussalam, Sekolah Menengah Sayyidina Ali. 
  • Kata Sendi. Contoh: di (1 patah perkataan), di sana (2 patah perkataan) 
  • Kata Ganda. Contoh: gunung-ganang, murid-murid. 
  • Peribahasa, ungkapan, dan cogan kata. Contoh: ada hati, seperti aur dengan tebing, pandu cermat jiwa selamat. 
  • Tarikh dan angka. Contoh: 1000 (1 patah perkataan), 8 September 2011 (1 patah perkataan). 
  • Kata Majmuk. Contoh: tunjuk ajar, bercampur aduk, mengambil kira 
  • Gelaran. Contoh: Yang Berhormat (1 patah perkataan), Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (1 patah perkataan).

Penanda wacana tidak dikira sebagai satu patah perkataan. Contohnya:
  •   ‘selain itu’ (2 patah perkataan).
  •   ‘di samping itu’ (3 patah perkataan).
  •   ‘Walau bagaimanapun’ (2 patah perkataan).

Akhir sekali, para pelajar jangan lupa menulis bilangan perkataan di bahagian bawah sebelah kanan kertas jawapan anda.

 

CONTOH SOALAN

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan belajar secara berkumpulan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kita sering mendengar beberapa istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut. Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu dijalankan secara berkekalan.

Dalam proses memahami bahan-bahan yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang jitu.

Kita memerlukan orang lain untuk memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun. Tugas itu memerlukan perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.

Apabila kita bekerja dengan orang lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menyayakan perbincangan itu.

Namun begitu, kumpulan perbincangan itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.

(lebih kurang 300 patah perkataan )


CONTOH JAWAPAN :

Kumpulan perbincangan diadakan bertujuan untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dalam kalangan ahli. Melalui aktiviti ini, pemahaman tentang sesuatu perkara dapat dipertingkatkan. Nota hasil pembelajaran dapat disusun dengan rapi. Ada rakan-rakan yang dapat menjelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami dengan terperinci. Selain itu, nota pelajaran juga dapat disusun mengikut urutan yang tepat. Semua ahli kumpulan mendapat faedah hasil daripada perbincangan yang dilakukan. Akhir sekali kumpulan perbincangan dapat meningkatkan kecekapan bekerja setiap ahli kumpulan.
                                                                                                                                
( 80 patah perkataan)   

Nota kaki : 
Pengiraan jumlah perkataan bergantung pada kehendak soalan. Oleh itu penting bagi pelajar membaca dan memahami kehendak soalan terlebih dahulu sebelum menjawab soalan peperiksaan. 
SPE = 70 patah perkataan
O LEVEL= 100 patah perkataan.        


                                                                         

Khamis, 31 Mei 2012

KARANGAN BENTUK SYARAHAN / PIDATO


MAKSUD SYARAHAN:

Syarahan atau dinamakan juga pidato lebih menekankan  kepada kemahiran bertutur. Dalam syarahan, hal yang penting diberi perhatian ialah daya tarikan kepada pendengar. Mereka akan bersyarah berdasarkan teks syarahan yang disediakannya. Bagaimanapun, pemidato yang baik tidak terlalu bergantung pada teks.

Dalam menulis syarahan, awda haruslah lebih memberikan tumpuan kepada cara untuk menarik perhatian pendengar ini. Dalam kata lain, walaupun dalam bentuk tulisan, namun perlu juga dibayangkan bahwa syarahan yang awda tulis itu sebenarnya dalam bentuk pertuturan. Ini disebabkan teks syarahan awda itu nanti akan dijadikan panduan oleh pemidato dalam menyampaikan syarahannya.

Terdapat dua jenis syarahan yang lazim, iaitu : 
  • Syarahan yang diadakan dalam di dalam sesuatu majlis yang khusus. Dalam syarahan atau pidato, pemidato akan diberikan tajuk yang khusus untuk memperkatakannya. Ini berbezakan dengan karangan jenis ucapan, tidak diberi tajuk.  
  • Syarahan atau pidato dalam bentuk pertandingan. Dalam sesuatu pertandingan pidato, teks pidato itu diperlukan sebagai panduan kepada pemidato. Di sekolah umpamanya, banyak pertandingan syarahan sama ada peringkat sekolah itu sendiri atau peringkat daerah dan seterusnya peringkat negeri diadakan.

Syarahan biasanya mempunyai tajuk tertentu. Seseorang yang bersyarah akan mengupas tajuk itu. Ini bermakna syarahan bertujuan untuk menyampaikan fakta, pengetahuan dan perkara-perkara yang serius berhubung atau relevan dengan tajuk yang diberi kepadanya.

FORMAT SYARAHAN :

Syarahan biasanya lebih panjang dari ucapan dan taklimat. Ini disebabkan dalam syarahan, tajuk-tajuk tertentu biasanya telah diberikan oleh penganjur kepada pihak penceramah. Penceramah akan bercakap di bawah tajuk itu.

Tajuk tersebut akan dihuraikan dengan mengemukakan fakta-fakta yang berhubungan dan dibuktikan melalui contoh-contoh yang sesuai supaya orang ramai yang mendengar berasa yakin dengan isi-isi yang disyarahkan itu.

Untuk tujuan peperiksaan, awda akan dikehendaki menulis teks syarahan. Teks ucapan mempunyai hubungan rapat dengan format syarahan. Antara perkara penting yang ada dalam sesuatu syarahan ialah :
  • Ucapan selamat kepada para tetamu yang hadir, dimulai dengan pengerusi majlis, tetamu khas dan hadirin. Awda juga boleh memberi penghargaan kepada penganjur atau kerana diberi peluang untuk bersyarah jika selain syarahan berbentuk pertandingan.
  • Menyatakan tajuk syarahan yang akan disampaikan dan tujuan syarahan itu dibuat.
  • Isi-isi syarahan iaitu fakta-fakta yang relevan dengan tajuk syarahan. Bahagian ini mesti lebih panjang daripada bahagian-bahagian lain. Di sinilah letaknya peruntukkan markah yang paling banyak. Bahagian isi syarahan haruslah dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu pendahuluan, isi dan ceramah. Pendahuluan dalam syarahan bolehlah dipenuhi dengan definisi atau latar belakang persoalan atau tajuk yang disyarahkan. Bahagian isi pula ialah butiran yang relevan dengan tajuk  sementara bahagian kesimpulan pula ialah rumusan daripada kandungan yang telah disyarahkan.Bahagian kesimpulan ini juga bolehlah membuat penegasan terhadap butir-butir penting yang telah disyarahkan.
  • Kata-kata hormat kepada sidang hadirin yang diselang selikan di antara permulaan perenggan tertentu.
  • Penutup syarahan iaitu dengan memohon maaf andainya ada ketelanjuran kata dan mengucapkan terima kasih.
  • Kalau digambarajahkan, format pemerangganan syarahan adalah seperti berikut :
Kata-kata aluan kepada yang hadir

Pendahuluan untuk isi-isi syarahan

Isi syarahan 1

Isi syarahan 2

Isi syarahan 3

Isi syarahan 4

Isi syarahan 5

Kesimpulan isi-isi  syarahan

Penutup syarahan

TEKNIK MENULIS SYARAHAN:

Langkah pertama dalam syarahan ialah menyebut kata-kata aluan. Kata-kata aluan ini berbeza mengikut keperluan syarahan. Syarahan yang dibuat dalam majlis memounyai kata-kata aluan yang berbeza dengan syarahan dalam bentuk pertandingan.

Contoh kata-kata aluan untuk majlis ialah seperti berikut : 

Yang Mulia Tuan Pengerusi majlis, Tuan Pengetua, guru-guru dan para pelajar sekalian. Terlebih dahulu daya mengucapkan terimakasih kepada pihak sekolah kerana mengundang saya untuk menyampaikan syarahan pada hari ini. 

Contoh kata-kata aluan untuk pertandingan syarahan adalah seperti berikut:  

Terima kasih Tuan Pengerusi, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan pelajar sekalian.

PENDAHULUAN :

Pendahuluan untuk isi-isi syarahan akan menggambarkan persoalan yang akan disyarahkan. Maksudnya pendahuluan itu haruslah menggunakan ayat yang jelas menggambarkan tujuan atau apa yang akan kita percakapkan. Bayangkanlah pendengar syarahan kita bertanya tiga soalan ini:
  • Untuk apa aku mendengar syarahan?
  • Apa kena mengena syarahannya dengan aku?
  • Apa yang diperkatakannya?
Pendahuluan syarahan awda haruslah memberi jawapan kepada tiga soalan di atas. Untuk menarik minat pendengar, pendahuluan syarahan haruslah menarik. Syarahan awda boleh dimulai dengan:
  • Mengemukakan cerita atau peristiwa yang ada hubungan dengan isi syarahan.
  • Menyebut sebarang persoalan yang penting, disukai, dihargai atau kerap dialami pendengar.
  • Menyebut perumpamaan, kata-kata hikmat, madah pujangga dan sebagainya yang berkaitan dengan isi syarahan.
  • Menyebut fakta-fakta yang mengejutkan para pendengar tentang isi syarahan yang belum diketahui pendengar.
Perhatikan dua contoh perenggan pendahuluan syarahan ini. 

Kalau awda singgah di sebuah restoren di Jakarta, sebelum pelayan restoren itu datang, awda mungkin akan didekati oleh penjaja jalanan dan bertanya “ Beli buku laris ini pak?” Ini sekurang-kurangnya menunjukkan penghormatan  kepada buku di kalangan masyarakat di situ. Bagaimana kita di sini? Kenapa kita begitu liat untuk membeli buku? Bagaimana caranya untuk menjadi seorang pembaca buku yang baik? Inilah antara perkara yang akan saya kemukakan dalam syarahan bertajuk “ Peranan buku dalam pembangunan negara” ini.

Atau

Tahukah awda bahawa masyarakat Jepun membaca tiga buah buku setahun? Dan tahukah awda bahawa masyarakat Malaysia hanya membaca satu halaman buku setahun? Berdirinya saya di depan tuan-tuan ini ialah untuk menyampaikan syarahan bertajuk “Peranan buku dalam pembangunan negara”. Semua orang tahu tentang buku tetapi tidak semua orang tahu membaca buku, maksud saya membaca buku dengan betul. 


ISI SYARAHAN :

Isi syarahan mestilah relevan dengan tajuk. Untuk menulis karangan berbentuk syarahan ini, awda haruslah mempunyai lebih kurang lima isi untuk setiap tajuk syarahan yang dihuraikan masing-masing pada perenggan yang berbeza.

KESIMPULAN :

Sebaik-baiknya, kesimpulan dalam syarahan awda haruslah mempunya hubung kait dengan pendahuluan. Bagaimanapun terdapat pelbagai cara untuk membuat kesimpulan syarahan seperti :
  • Membuat rumusan isi-isi syarahan yang telah dinyatakan.
  • Mengulang perkara-perkara penting yang telah disebutkan dalam syarahan itu.
  • Menyeru pendengar supaya mengubah sikap lama atau pandangan terhadap persoalan yang telah disyarahkan.
  • Menyerahkan pertimbangan terhadap isi-isi syarahan kepada kebijaksanaan para pendengar sendiri.

Perhatikan dua contoh kesimpulan syarahan berikut:

Kesimpulannya ialah kemerosotan disiplin di kalangan pelajar merupakan masalah yang kian rumit. Langkah yang berkesan perlu diambil supaya generasi muda dapat mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti dan tidak menjadi mangsa kepada sistem yang kita gubal sendiri. Hal ini adalah untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya.

Atau

Di sini saya menyeru ibu bapa sekalian supaya memberikan kasih sayang terhadap anak-anak. Janganlah bersikap bengis terhadap mereka. Pupuklah semangat ingin maju dalam diri anak-anak dengan cara psikologi bukan dengan cara menghukum atau mendera.

LARAS BAHASA :

Dalam penggunaan bahasa pula, awda perlulah berhati-hati memandangkan teks itu ditulis untuk dijadikan panduan dalam syarahan. Gaya bahasa yang digunakan mestilah mudah difahami dan lancar. Terdapat beberapa panduan gaya bahasa yang boleh digunakan dalam menghasilkan karangan berbentuk syarahan ini iatu :
  • Gunakan ayat aktif iaitu pelaku sebagai subjek ayat awda.
  • Jangan menggunakan ayat yang panjang, jangan sampai 20 perkataan dalam satu ayat.
  • Ayat-ayat panjang ( jika tidak dapat dielakkan) haruslah diselang selikan dengan ayat yang pendek.
  • Perkataan-perkatan yang panjang perlu dielakkan. Sebaik-baiknya jangan gunakan perkataan yang melebihi tiga suku kata.