Pengenalan:
Apakah tujuan ringkasan ?
- Menguji kebolehan pelajar membuat ringkasan / nota.
- Menguji pemahaman pelajar terhadap teks yang dibacanya.
- Membolehkan seseorang pelajar mengetahui sesuatu cerita dengan cepat.
- Dapat mengarang semula petikan dengan menggunakan ayat sendiri.
Konsep ringkasan :
- Meringkaskan berdasarkan petikan rencana, cerita atau berita.
- Tujuan meringkas karangan adalah untuk menguji kemahiran mengenal pasti isi-isi penting.
- Pembahagian markah dibuat berdasarkan ketepatan isi, kebakuan bahasa dan kejalinan idea ( teknik)
- Markah akan ditolak jika melakukan kesalahan ejaan dan menulis melebihi had perkataan yang ditetapkan.
- Ringkasan yang dihasilkan melalui salinan ayat demi ayat daripada petikan asal tidak digalakkan bahkan penggunaan ayat sendiri sangat diberikan perhatian.
Proses/format meringkas karangan :
- Baca keseluruhan petikan rencana sebanyak dua kali (sekurang-kurangnya) untuk memahami maksud keseluruhan teks.
- Tentukan tema/pokok persoalan petikan.
- Selepas itu, kenal pasti isi-isi yang penting. Garis isi- isi yang penting supaya dapat membuat rujukan dengan cepat.
- Nomborkan isi- isi utama yang digariskan tadi. Sebaik-baiknya, isi tersebut disusun semula supaya isi-isi ya berkaitan dan berurutan.
- Kemudian tulislah semua isi-isi tersebut dengan perkataan sendiri dan bukan gaya bahasa teks asal.
- Pasti kan jumlah perkataan yang digunakan tidak melebihi had yang ditentukan.
- Semasa menulis gunakan bahasa yang ringkas dan padat. Bahasa yang berbunga- bunga dan tidak tepat harus dielakkan.
- Untuk kesinambungan idea, gunakanlah penanda wacana yang sesuai. Contohnya: selain itu, walau bagaimana pun, namun begitu, sebaliknya.
- Tuliskan satu isi dalam satu ayat. Namun, isi- isi yang berkaitan boleh digabungkan untuk membentuk satu ayat yang padat.
- Perkara- perkara yang tidak dinyatakan dalam teks asal tidak boleh dimasukkan ke dalam ringkasan awda.
- Setelah itu, buatlah pengiraan dan catatkan jumlah perkataan di sudut kanan bawah ringkasan awda.
- Sebagai langkah terakhir, semak kerja awda dan pastikan ringkasan awda tidak mengandungi kesalahan ejaan dan tatabahasa.
PENGIRAAN JUMLAH PERKATAAN
Semua aspek yang disenaraikan di bawah adalah dikira sebagai satu
perkataan.
-
Kata Nama Khas. Contoh: Negara Brunei Darussalam,
Sekolah Menengah Sayyidina Ali.
- Kata Sendi. Contoh: di (1 patah perkataan), di sana
(2 patah perkataan)
- Kata Ganda. Contoh: gunung-ganang, murid-murid.
- Peribahasa, ungkapan, dan cogan kata. Contoh: ada
hati, seperti aur dengan tebing, pandu cermat jiwa selamat.
- Tarikh dan angka. Contoh: 1000 (1 patah perkataan),
8 September 2011 (1 patah perkataan).
- Kata Majmuk. Contoh: tunjuk ajar, bercampur aduk,
mengambil kira
- Gelaran. Contoh: Yang Berhormat (1 patah perkataan), Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (1 patah perkataan).
Penanda wacana tidak dikira sebagai satu patah perkataan. Contohnya:
- ‘selain itu’ (2 patah perkataan).
- ‘di samping itu’ (3 patah perkataan).
- ‘Walau bagaimanapun’ (2 patah perkataan).
Akhir sekali, para pelajar jangan lupa menulis bilangan perkataan di bahagian bawah sebelah kanan kertas jawapan anda.
CONTOH SOALAN
Baca petikan di bawah dengan teliti
dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan belajar secara berkumpulan. Panjang
ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan
menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Kita sering mendengar beberapa
istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah
ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan
kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat
tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut.
Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu
dijalankan secara berkekalan.
Dalam proses memahami bahan-bahan
yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih
kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan
ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat
mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita
miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang
jitu.
Kita memerlukan orang lain untuk
memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya
sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun. Tugas itu memerlukan
perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan
pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih
mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.
Apabila kita bekerja dengan orang
lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur
persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan
sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat
persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menyayakan perbincangan itu.
Namun begitu, kumpulan perbincangan
itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan
kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan
akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.
(lebih kurang 300 patah perkataan )
CONTOH JAWAPAN :
Kumpulan perbincangan diadakan
bertujuan untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dalam kalangan
ahli. Melalui aktiviti ini, pemahaman tentang sesuatu perkara dapat
dipertingkatkan. Nota hasil pembelajaran dapat disusun dengan rapi. Ada
rakan-rakan yang dapat menjelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami dengan
terperinci. Selain itu, nota pelajaran juga dapat disusun mengikut urutan yang
tepat. Semua ahli kumpulan mendapat faedah hasil daripada perbincangan yang
dilakukan. Akhir sekali kumpulan perbincangan dapat meningkatkan kecekapan
bekerja setiap ahli kumpulan.
( 80 patah perkataan)
Nota kaki :
Pengiraan jumlah perkataan bergantung pada kehendak soalan. Oleh itu penting bagi pelajar membaca dan memahami kehendak soalan terlebih dahulu sebelum menjawab soalan peperiksaan.
SPE = 70 patah perkataan
O LEVEL= 100 patah perkataan.