Sabtu, 27 Ogos 2011

PERIBAHASA : PENGENALAN


APAKAH MAKSUD PERIBAHASA?

Peribahasa ialah susunan kata atau ikatan perkataan yang ringkas dan bijaksana, rapi, teratur, yang mengandungi maksud dan tujuan yang luas, halus dan dalam serta mempunyai pengertian yang tertentu.

Peribahasa menggambarkan pendapat atau fikiran sesuatu masyarakat tentang kehidupan mereka sehari-hari.


Peribahasa dicipta setelah sesuatu kejadian berlaku di dalam lingkungan suatu masyarakat kemudian mereka mengiaskan dengan apa-apa yang ada di sekeliling kehidupan mereka.




 

APAKAH TUJUAN/FAEDAH MEMPELAJARI PERIBAHASA?
  • Sebagai panduan hidup.
  • Untuk menajamkan sesuatu maksud atau tujuan percakapan.
  • Untuk menghiasi percakapan atau penulisan.
  • Sebagai pengajaran dan pedoman hidup.
  • Untuk mengkaji kebudayaan sesuatu bangsa.


JENIS-JENIS PERIBAHASA

Peribahasa merangkumi beberapa jenis iaitu simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, kata-kata hikmat dan perambahan Brunei.

1. Simpulan bahasa
2. Perumpamaan
3. Pepatah
4. Bidalan
5. Kata-kata hikmat
6. Perambahan Brunei



SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa ialah susunan dua perkataan dalam bahasa melayu yang amat tersusun dan bermakna. Simpulan bahasa mempunyai pengertian yang berlainan dengan pembentukan perkataan atau frasa itu sendiri. Makna simpulan bahasa itu berkait dengan sikap dan kelakuan manusia yang digambarkan dengan pelbagai situasi yang berkaitan dengan benda, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Contoh : Ada angin, cepat tangan, buta huruf, kaki bangku .


PERUMPAMAAN
Perumpamaan ialah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberi makna khas berlainan daripada apa yang diucapkan atau tertulis atau membandingkan sesuatu dengan benda lain 'seperti' 'bagai' laksana' 
'umpama' seolah-olah' dan 'macam'. Ada juga perumpamaan yang tidak menggunakan kata-kata bandingan.
contoh: Bagai si rabun memimpin si buta, bagai kumbang putus tali, seperti aur dengan tebing.


PEPATAH
Pepatah ialah peribahasa yang mengandungi perkataan-perkataan yang ringkas dan mempunyai erti yang berisi pengajaran, kadang-kadang pepatah ada juga yang tidak berisi pengajaran.
contoh: Bagaimana gendang begitulah tarinya, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, ada udang di sebalik batu.


BIDALAN
Bidalan ialah peribahasa yang membuat bandingan dan ertinya mesti berisi pengajaran dan fikiran yang benar.
contoh: Genggam bara apa biar sampai jadi arang,  alah bisa tegal biasa, bapa borek anak rintik.


KATA-KATA HIKMAT
Kata-kata hikmat dipetik daripada kitab-kitab suci, kata-kata dan pendapat tokoh, negarawan, cendikiawan dan sasterawan yang bijak pandai. Kata-kata hikmat itu sangat penting untuk menjadikan pedoman untuk generasi akan datang.
contoh: Bahasa menunjukkan bangsa, masa itu emas, kata dikotakan.


PERAMBAHAN BRUNEI
Perambahan Brunei ialah sejenis peribahasa yang mengandungi makna tertentu dan berunsur nasihat, pengajaran dan bahasa kiasan. perambahan brunei mengandungi simpulan bahasa, bidalan dan perumpamaan.
contoh : akal menampurung, guring limpang dan luak pakak.


Rujukan : Peribahasa Sekolah Menengah Negara Brunei Darussalam.



Ahad, 21 Ogos 2011

TATABAHASA : KATA NAMA AM DAN KHAS (TAHUN 7)


KATA NAMA   

Kata nama digunakan untuk menyebut nama orang, benda, tempat dan binatang. Kata nama terbahagi kepada tiga kelompok yang besar, iaitu:

a ) Kata Nama Am
b ) Kata Nama Khas
c ) Kata Nama Terbitan

Kata Nama Am

Kata nama am digunakan untuk menyebut nama manusia/orang, benda, tempat dan binatang secara umum sahaja.
ORANG
BENDA
TEMPAT
BINATANG
kakak
kertas
kampung
seladang
adik
pen
bilik
rusa
buruh
topi
perpustakaan
musang

Penggunaan dalam ayat

Kakak sedang menjemur kain di halaman rumah.
Mereka sedang mengutip kertas yang bertaburan di atas lantai.
     Kanak-kanak sedang bermain bola di padang.

Kata Nama Khas

Kata nama khas digunakan untuk menyebut nama benda, orang, tempat dan binatang.

ORANG
BENDA
TEMPAT
BINATANG
Tuan Kamri
Proton Saga
Johor
Si Comel
Hang Tuah
Panasonic
Tutong
Bujang Senang
Kamarul
Rolex
Gunung Kinabalu
Pak Belang

Penggunaan dalam ayat

     Hang Tuah ialah pahlawan yang sangat teerkenal pada masa dahulu.
     Encik Kamal membeli kereta jenis Toyota Vios.
     Mereka bersenam di Taman Indah pada setiap hari Ahad.






sumber rujukan:
Rujukan i-master / Sabaruddin Abd.Rahman/Mahmudah Idros

.

Jumaat, 19 Ogos 2011

SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU FARAH.


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, akhirnya sebuah blog tentang 'Cemerlang Bahasa Melayu' dapat cikgu ungkayahkan. Blog ini cikgu tujukan khas untuk penuntut-penuntut cikgu dan cikgu harap ianya dapat membantu para pelajar sekelian untuk berjaya dengan cemerlang dalam subjek ini. Insyaallah.

Blog ini akan cikgu isikan dengan nota-nota tatabahasa, peribahasa, karangan, fahaman dan juga latihan yang bersesuaian. Jika ada sebarang pertanyaan dari para pelajar, sila tinggalkan komen/ulasan di ruangan yang disediakan.

Akhir kata , pada 'entry' pertama ini cikgu sudahi dengan kata-kata hikmat :

" BELAJARLAH BERDIRI TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENCUBA UNTUK BERLARI."

Sekian, untuk kali ini. Terima kasih.